Saturday, June 7, 2008

HARGA MINYAK DUNIA PADA 7 JUN 2008

Melonjak AS$138 setong - Harga minyak catat rekod naik AS$10.75 dalam sehari

NEW YORK 7 Jun – Harga minyak mentah dunia semalam mengalami kenaikan tertinggi dalam sehari sebanyak AS$10.75 (RM34.93) untuk mencatat rekod baru AS$138.54 setong (RM450.25) apabila Israel menyatakan kesediaannya untuk menyerang Iran.

Perkembangan ini dilihat bakal menyebabkan harga minyak mentah mampu mencapai paras AS$150-AS$200 setong dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, bank pelaburan terkemuka dunia Goldman Sachs meramalkan kemungkinan paras berkenaan dicapai dalam tempoh enam hingga 24 bulan akan datang.

Dalam urus niaga semalam, penanda aras minyak mentah, kontrak hadapan bulan Julai minyak mentah berkualiti tinggi Light Sweet, di pasaran hadapan New York juga mencatatkan rekod baru dalam urus niaga antara hari.

Kontrak itu turut mencecah paras AS$137 (RM445.25), AS$138 (RM448.50) dan AS$139 (RM451.75) buat pertama kalinya dan juga melonjak ke paras tertinggi AS$139.12 (RM452.14).

Di London, minyak mentah Brent North Sea bagi bulan Julai juga mencipta rekod dengan mencatatkan paras tertinggi urus niaga antara hari kepada AS$138.12 (RM448.89) setong pada tengah hari sebelum menyusut AS$137.69 (RM447.49), mewakili kenaikan harga AS$10.15 (RM32.98) setong.

Kedua-dua kontrak hadapan itu telah melepasi paras tertinggi yang dicatatkan pada 22 Mei iaitu AS$135.09 di New York dan AS$135.14 (RM439.20) di London.

Sejak dua hari lalu, harga minyak mentah telah pun melonjak sebanyak AS$16 (RM52) selepas pasaran memberikan reaksinya kepada kejatuhan terbaru dolar Amerika Syarikat (AS) yang berpunca daripada amaran kenaikan kadar faedah pada Khamis lalu selain AS melaporkan kenaikan kadar pengangguran pada Jumaat lalu.

Para penganalisis berkata, keadaan diburukkan lagi dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Israel, Shaul Mofaz yang dilaporkan akhbar Yediot Aharonot sebagai berkata, negara Yahudi itu akan menyerang Iran sekiranya republik Islam itu meneruskan program senjata nuklearnya.

Iran merupakan negara pengeluar minyak mentah keempat terbesar di dunia.

Sambil menyatakan serangan itu akan hanya boleh dibuat dengan sokongan AS, Mofaz berkata, pihaknya tidak melihat terdapat pilihan lain untuk menghentikan program itu kecuali dengan menyerang Iran.

“Pilihan-pilihan lain sudah tidak ada lagi. Sekatan tidak berkesan (untuk dikenakan ke atas Iran),’’ kata beliau yang juga Menteri Pengangkutan Israel.

Sementara itu, penganalisis di Newedge Group, Antoine Halff berkata, komen yang dibuat oleh Mofaz itu menunjukkan pertikaian tentang program nuklear Iran masih belum selesai dan risiko konfrontasi ketenteraan sedang memuncak.

“Ini akan menjadi punca kepada ketidaktentuan pasaran sehinggalah penyelesaian dapat dicapai,’’ kata beliau.

Kenyataan yang dikeluarkan Mofaz itu membayangkan hasratnya untuk menggantikan Ehud Olmert sebagai Perdana Menteri dan menerajui parti Kadima, kata Eric Wittenauer, seorang penganalisis dengan Wachovia Securities.

“Menyedari masalah politik yang dihadapi Olmert, kenyataan itu hanyalah sebagai tujuan politik terutama ketika Mofaz merasakan beliau harus bersedia untuk bertanding memegang jawatan tertinggi negara,’’ katanya.

Bagaimanapun, seorang penganalisis dengan Newedge pula berkata, gangguan bekalan minyak berikutan perkembangan yang berbentuk andaian itu bukan merupakan sesuatu yang membimbangkan.

Dolar terus berada di kedudukan lemah berbanding euro pada AS$1.57 (RM5.10) sehari selepas Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Jean Claude Trichet membuat kenyataan mengenai kadar inflasi selepas mengekalkannya seperti mana yang dijangkakan.

Mata wang dolar itu juga tertekan apabila Jabatan Buruh AS melaporkan pada Jumaat lalu bahawa kadar pengangguran negara meningkat di luar jangkaan sebanyak setengah mata peratusan kepada 5.5 peratus pada Mei lalu, peningkatan tertinggi dalam tempoh dua dekad lalu.

Kelemahan dolar juga meningkatkan harga minyak kerana ia menjadikan komoditi emas hitam itu lebih murah kepada pembeli yang menggunakan mata wang asing, kata para penganalisis.

– AFP

No comments: