Tuesday, November 11, 2008

2 lagi syarikat gergasi Amerika hampir muflis

DUA lagi syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) menjadi mangsa krisis kewangan global apabila General Motors (GM) mengumumkan memerlukan bantuan kerajaan, manakala firma peruncit barang elektronik utama negara itu, Circuit City memfailkan muflis.


Berita itu menyebabkan satu lagi hari yang muram di AS apabila ia mengatasi harapan bahawa tindakan kerjasama kerajaan di seluruh dunia mampu mengelakkan kemelesetan ekonomi global daripada bertambah buruk.

Fannie Mae, syarikat gergasi gadai janji AS yang diselamatkan kerajaan awal tahun ini, semalam mengumumkan kerugian AS$29 bilion.


Sementara itu, kerajaan AS menambah lagi bantuannya terhadap syarikat insurans AIG kepada lebih AS$150 bilion.Berita buruk dari AS itu menjejaskan pasaran saham Asia semalam dengan Tokyo kerugian 3.0 peratus, manakala Hong Kong turun 0.6 peratus pada rehat pertengahan dagangan.


Ketua Eksekutif General Motors, Rick Wagoner semalam berkata, pengeluar kereta AS itu mungkin memerlukan bantuan secepat mungkin.

“Ini adalah isu perlu ditangani segera,” katanya sambil meminta kerajaan supaya ‘meningkatkan dan bukan mengurangkan’ bantuannya.

Gesaannya terhadap bantuan itu dibuat apabila saham GM kerugian 23 peratus kelmarin selepas penganalisis di Deutsche Bank berkata, mereka menjangkakan saham syarikat itu mungkin menjadi tidak bernilai.

“Walaupun jika GM berjaya mengelak daripada muflis, kami percaya masa depan syarikat ini hampir seperti syarikat muflis,” kata bank itu.

Wagoner berkata, keseluruhan industri automotif AS sedang tenat, dengan jualan dijangka menurun lebih daripada tiga juta kenderaan tahun depan ekoran kemelesetan ekonomi global.

“Saya mempersoalkan sama ada mampukah industri AS secara keseluruhannya terselamat tanpa sokongan,” katanya.

Peruncit elektronik AS, Circuit City, kelmarin berkata, ia memfailkan untuk perlindungan muflis dan mendapatkan kredit penyelamat berjumlah AS$1.1 bilion untuk menangani penurunan ketara dalam jualan.

Hanya seminggu selepas mengumumkan, ia akan menutup 155 pasar raya dan mengambil satu lagi pendekatan penstrukturan semula untuk melawan kehilangan tunai, firma itu menjadi syarikat peruncit utama AS memfailkan perlindungan muflis sejak krisis bermula.

Penyedia peralatan telekomunikasi Kanada, Nortel Networks mencatatkan kerugian AS$3.4 bilion pada suku ketiga tahun kewangan semasa dan mengumumkan pengurangan pekerja seramai 1,300.

“Kita menyaksikan keadaan ekonomi yang bertambah teruk berserta keadaan tidak stabil dalam kewangan, pertukaran mata wang asing dan pasaran kredit global,” kata Presiden dan Ketua Eksekutif Nortel, Mike Zafirovski dalam satu kenyataan.

Berita kurang memberangsangkan terbaru itu hadir menjelang rundingan di kalangan ketua kumpulan G20, yang mewakili kumpulan terbesar negara membangun dan sedang membangun di Washington Sabtu ini, bermatlamat mengembalikan kestabilan dan keyakinan terhadap pasaran.

Pegawai AS berkata, persidangan itu hampir mencapai satu ‘pelan tindakan’ termasuk langkah jangka pendek untuk membantu memperbaiki ekonomi global, manakala negara lain seperti Perancis menggesa diadakan perbincangan untuk bersetuju terhadap langkah konkrit. - AFP

No comments: